InstaMe

Wednesday, October 20, 2010

Pertemuan Pertama..

Hening pagi menyambut kami di perbukitan itu. Sejenak terasa tiupan bayu yang bisa meremangkan segenap tubuh. Hati berdebar.

Mak,
Ini kali pertama aku bakal bersua denganmu. Selama ini aku hanya mendengar tentangmu dari anakmu. Mungkin kita tidak akan dapat bertemu lagi pada hayat ini. Pertemuan pertama ini bisa membuatkan aku merasa sebak.

Kami bertiga berdiri di hujung kepalamu. Surah Yassin dan Fatihah kami hadiahkan kepadamu. Air mawar dan bunga-bungaan ditabur usai membuang segala rumput-rumput di keliling tempatmu bersemadi. Suasana hening menyelubungi pagi itu. Tiada siapa yang mampu bersuara.

Sebelum pulang, aku sempat berbisik, terima kasih kerana telah membesarkan anakmu sehingga menjadi insan yang aku kenali hari ini. Aku juga berjanji akan menjaganya seperti menjaga nyawaku sendiri. Terima kasih Mak. Walaupun kita tak pernah bersua, aku dapat merasakan kehadiran kasih sayangmu.

Sedikit titipan buatmu Mak...


Kami mengunjungi pusara bonda,
Sunyi pagi disinari suria,
Harum berseri puspa kemboja,
Menyambut kami mewakili bonda.

Tegak kami di makan sepi,
Lalang-lalang tegak berdiri,
Dua nisan terkapar mati,
Hanya papan di makan bumi.

Dalam kenangan kami melihat,
Mesra kasih bonda menatap,
Sedang lena dalam rahap,
Dua tangan kaku berdakap.

Bibir bonda bersih lesu,
Pernah dulu mengucupi dahiku,
Kini kurasakan kasihnya lagi,
Meski jauh dibatasi bumi.

Nisan batu kami tegakkan,
Tiada lagi lalang memanjang,
Ada doa kami pohonkan,
Air mawar kami siramkan.

Senyum kemboja mengantar kami,
Meninggalkan makam sepi sendiri,
Damailah bonda dalam pengabadian,
Insan kerdil mengadap Tuhan.

Begitu bakti kami berikan,
Tiada sama bonda melahirkan,
Kasih bonda tiada sempadan,
Kemuncak murni kemuliaan insan.

- Usman Awang -




*******************
Sebab itu bila diminta menulis tentang ibu mertua, saya tidak boleh untuk memberikan sebarang komen...
Kerana ini baru kali pertama saya bertemu beliau...



No comments: