InstaMe

Wednesday, October 20, 2010

Sebelum 30..

Salam semua,

Akhirnya, dapat juga saya menulis. Selama 2 hari selepas pulang dari Johor, saya berhibernasi sebentar untuk menyiapkan beberapa perkara. Kiranya baru hari ini saya mula menggunakan kemudahan internet ini.

Apa yang kami buat di Johor? Aktiviti utama tentulah makan. Hehe. Saya juga berpeluang mengunjungi pasar malam untuk mencari makanan-makanan yang belum pernah saya cuba. Antaranya ialah tauhu bakar. Lain benar tauhu bakar Johor jika dibandingkan dengan tauhu bakar yang pernah saya jumpa di tempat lain.

Selain dari itu, kami juga mengadakan barbeku bersama keluarga mertua. maklumlah, kami jarang-jarang pulang. Sekali-sekala elok juga berkumpul bersama dan yang penting, makan. Ya, makan. Bagi saya, makanan boleh menyatukan insan. Kerana dengan makanan kita akan sama-sama bergotong-royong menyediakan, dan kemudian menikmati makanan tersebut. Itulah nikmatnya. :)

Hujung minggu itu juga saya melawat saudara di sebelah mertua, dan juga menziarahi Atuk yang sedang menjalani Kemoterapi di Hospital Sultanah Aminah. Beliau sedang bertarung dengan kanser. Teringat saya tentang program kesedaran yang sedang saya lakukan ini. Walaupun secara amnya, kempen ini adalah untuk Barah Payudara, saya juga akan pergi lebih jauh untuk membincangkan mengenai kanser atau barah ini dengan skop yang lebih luas.

Kita tinggalkan dulu kisah tentang hujung minggu kami. Nanti saya akan muatkan gambar-gambar semasa di sana. Tetapi masalah utama saya dengan kamera ialah bila makanan sudah terhidang di depan mata, maka kamera tidak lagi berfungsi. Tangan dan mulut sibuk bekerja. Hehe. Mungkin saya perlu lebih serius dalam membuat tugasan berkaitan majlis yang dilimpahi dengan makanan ini.

Apa yang saya mahu ceritakan dalam entri ini adalah tentang perkara yang ingin saya lakukan sebelum usia menjangkau 30 tahun. Antaranya ialah menghasilkan sebuah buku untuk kanak-kanak. Alhamdulillah, saya telah berjaya melakukannya. Ini merupakan percubaan pertama saya untuk menghasilkan buku bergambar tentang aktiviti pemuliharaan yang sudah sebati dengan diri saya.

Bila saya berhenti kerja, itu tidak bermakna apa yang saya buat sebelum ini juga turut terhenti. Saya ingin meneruskan kerja-kerja berkaitan pemuliharaan ini walaupun dengan cara lain. Banyak cara sebenarnya yang boleh kita lakukan untuk menerapkan kesedaran terhadap masyarakat mengenai pentingnya alam sekitar dan spesis-spesis flora dan fauna yang terdapat di dalamnya. Jadi, bila peluang untuk menghasilkan ilustrasi dan layout untuk buku ini terbuka di depan mata, saya tidak teragak-agak untuk menerimanya.

Inilah hasilnya. :)








Percubaan pertama.
Ilustrasi pun masih lagi secara manual. Mungkin bila saya dah dapat menggunakan aplikasi CorelDraw dengan baik, banyak lagi yang mampu dibuat. :) Tapi ini semua takkan dapat direalisasikan tanpa bantuan suami tersayang. Terima kasih. :)




**********************
Hujung minggu ni saya akan ke PJ...
Temuduga untuk WWF...
Doakan saya ya.. :)

No comments: