InstaMe

Wednesday, October 27, 2010

Temuduga pertama?

Salam Khamis,

Lamanya rasa tak menjenguk blog ini. Mungkin dah bersawang sedikit. :) Saya baru pulang dari KL, menghadapi temuduga pertama saya. Ya, ini kali pertama saya menghadiri temuduga kerja. Sepanjang hidup saya, inilah kali pertama saya memohon pekerjaan. Nampak agak kasihan di situ kan?

Walaubagaimana pun saya bersyukur. Kerana saya berjaya mengharungi temuduga pertama.
Ditemani suami tercinta serta doa yang tak putus-putus dari insan-insan kesayangan. Sama ada saya akan mendapat pekerjaan itu atau tidak, terserah kepada-Nya. Kita hanya mampu berusaha, dan kemudian bertawakkal.

Bila difikirkan kembali, ada yang terkejut bila mengetahui bahawa ini temuduga pertama dalam hidup saya. Benar, memang ini yang pertama. Kerana saya sememangnya tidak pernah bekerja sebelum ini. Selain daripada menjadi pembantu penyelidik, saya tidak pernah melakukan kerja lain. Jawatan yang saya pegang selama ini, tanpa melalui sebarang temuduga kerana secara automatik saya akan menjadi seorang pembantu penyelidik apabila saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana.

Sebagai anak sulung, mungkin ramai yang menyangka bahawa saya perlu bekerja, contohnya ketika cuti semester untuk membantu keluarga. Tetapi lain pula situasinya dengan saya.
Mama dan abah tidak membenarkan saya bekerja. Ketika cuti semester, saya hanya akan berada di rumah, menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Kadangkala wujud rasa iri hati terhadap rakan-rakan lain yang keluar bekerja dan mampu mengumpulkan wang sendiri.

Dahulu saya menjadi bahan tertawa rakan-rakan apabila mereka mengetahui apa yang saya buat sepanjang cuti semester. Selain daripada menguruskan rumah, saya juga pernah menghadiri beberapa kursus bersama BFF. Antara kursus yang pernah kami sertai ialah kursus menjahit baju kurung dan menganyam tikar mengkuang. Kelakar bukan? Sebab itulah kami digelar 'Beliawanis Melayu Terakhir' oleh peserta kursus lain yang terdiri dari kalangan suri rumah tangga. (Hehehe...Saya pun seperti mahu ketawa berguling-guling bila memikirkan kembali tentang kursus-kursus tersebut, tapi pengalaman yang dapat kami kutip dari situ adalah sangat bernilai.)

Selain daripada menghadiri kursus, saya juga perlu berfikiran lebih kreatif untuk mencari duit poket. Oleh itu, saya akan menjual sandwich pada waktu pagi, dan duit hasilnya akan saya gunakan pula untuk membeli kain dan benang. Kenapa kain dan benang?

Kerana saya juga menjual saprah dan bantal sulam atau cross stich kepada ibu saya. Itu lagi satu benda yang agak kelakar. Ibu saya mempunya koleksi saprah sulam yang cantik yang dibeli dari anak sendiri. Saya menjualnya dengan harga RM30 sekeping. (Kira potongan 50% daripada pelanggan lain. :D) Kerana itu juga saya diejek. Masakan seorang anak sanggup menjual barang kepada ibunya. Tapi itulah hakikatnya. Mama menunjukkan sokongannya dengan membeli hasil kerja tangan saya. Kerana beliau tidak mahu saya keluar bekerja.

Rakan-rakan selalu tertawakan saya. Mereka juga berkata bahawa keluarga saya adalah keluarga yang pelik. Ada yang berkata kedua orang tua saya terlalu manjakan kami. Biarlah apa mereka nak kata, bagi saya keluarga saya adalah sangat unik. Sebab itulah orang lain berasa pelik melihat kami, betul tak?

Walau apa pun yang orang kata, saya percaya apa yang Mama dan Abah saya lakukan adalah untuk kebaikan kami. Kalau tidak kerana peraturan itu, saya mesti tidak akan mempunyai minat dan kesungguhan untuk mencari duit sendiri. Yang penting, di samping mencari duit, saya juga dapat menguruskan rumah tangga.

Saya belajar menjahit, memasak, mengemas rumah, dan juga membuat hasil kerja tangan yang lain. Secara tidak langsung, minat saya terhadap kerja-kerja tersebut semakin mendalam. Itulah yang menjadi sumber pendapatan selama saya tidak bekerja.

Mereka secara tidak langsung mendidik saya untuk menjadi lebih bertanggungjawab. Kerana bagi Mama, setinggi mana pelajaran seseorang wanita itu, dia tidak akan dikatakan berjaya jika dia tidak mampu untuk menguruskan rumah tangga dengan baik.

Mungkin modul ini patut saya teruskan untuk mendidik anak nanti. :)

Saya tinggalkan anda dengan gambar saya. Tapi hanya gambar selepas temuduga kerana saya tidak sanggup untuk meletakkan gambar sebelumnya. Rupa saya sebelum temuduga mungkin agak elok sedikit dari zombi kerana terlalu gementar. Jika ditoreh, mungkin tidak ada langsung darah yang keluar. Pucat lesi. :D




Ini selepas dapat makan meatball IKEA. Setelah sehari suntuk tidak menjamah apa-apa. Suami tercinta belanja 15 biji tetapi saya mampu makan 5 sahaja. Hehehe. Perut pun dah masuk angin. Spegeti hidangan kanak-kanak pun tak habis dijamah. Malamnya seperti biasa, menjamu selera dengan Sate Kajang. Nasib baiklah kami mempunyai selera dan obsesi yang sama terhadap sate. Terima kasih kepada satu-satunya adik lelaki kesayangan saya yang sudi belanja makan sate. :D

No comments: