InstaMe

Sunday, October 31, 2010

Semalam Bersama Teman...

Dingin malam kian terasa. Aku dan dia duduk di atas batu di lereng bukit itu. Berpeluk tubuh. Kami berdua diam. Mungkin masing-masing cuba melayan perasaan. Itulah kelebihannya bila jiwa kedua-duanya sudah sangat serasi. Kami bisa menikmati satu masa bersama tanpa perlu berkata apa-apa. Hanya diam dan menghayati saat bersama.

Kau macam mana? Dia memulakan bicara.

Aku OK, macam biasa. Kau? Aku cuba memberikan respon dan cuba membawa perbualan itu lebih jauh.

Entahlah. Aku pun tak pasti. Kita ni memang betullah kawan baik kan? Kita bercinta pada masa yang hampir sama, putus pun hampir sama masanya. Jalan cerita cinta kita pun tidak banyak bezanya. Dia mula meluahkan rasa hatinya.

Ya, mungkin itulah yang telah direncakan-Nya. Kerana kita akan dapat sama-sama merasa bahagia. Dan bila kita kecewa bersama, di situlah manisnya. Kau ada aku, dan aku ada kau. Betul tak? Kataku cuba memujuk.

Dia tersenyum pahit. Aku tahu. Jauh di sudut hatinya, masih terasa pahitnya bila cinta pertama gagal di tengah jalan.

Hey, janganlah begitu! Aku pun sedang kecewa tau. Kataku cuba mengusik.

Akhirnya dia ketawa.

Itulah manisnya hidup. Bila kita ada sesorang untuk diluahkan segala yang tependam. Bila kita ada seseorang yang sanggup meminjamkan bahunya untuk ditangisi. Bila ada seseorang yang dapat berkongsi gelak tawa bersama. Bila ada yang sudi mendengar.

Peristiwa tersebut sudah beberapa tahun berlalu. Tapi segalanya masih segar dalam ingatan. Dia nun jauh di sana. Aku pula di sini. Namun, dia adalah orang pertama yang akan mendengar apa yang terjadi dalam hidupku. Terutamanya yang melibatkan emosi. Dia selalu ada di sisi bila aku memerlukan. Itulah gunanya teman.

Sekarang keadaan jauh sudah berbeza. Aku juga tertanya-tanya kenapa bila aku berkahwin, dia masih lagi solo. Naifkan aku? Ingat semuanya akan berlaku sama seperti dulu. Itulah namanya takdir. Ia adalah rahsia-Nya. Kita tidak akan tahu apa yang bakal menanti kita di sepanjang perjalanan. Namun kami masih lagi berkongsi saat-saat seperti dulu. Aku masih lagi mencarinya setiap kali pulang ke kampung. Tambah memalukan lagi, aku boleh pula 'merap' kan dia dan ibunya untuk memasak makanan kegemaranku. Dan tanpa segan silu aku akan makan di rumahnya walaupun sudah bersuami.

Itu kisah seorang teman. Teman yang jauh tapi tetap dekat di hati. Banyak kali juga persahabatan kami diuji, namun kami masih seperti dulu. Mungkin kami sudah lali dengan pertengkaran atau perbalahan. Itu tidak akan menggugat persahabatan ini. Persahabatan adalah sesuatu yang indah, dan murni. Ianya tidak patut dicemari dengan hasad dengki atau kepentingan diri.

Dalam pada itu, masih banyak lagi jenis 'sahabat' yang aku ada. Antaranya yang hanya datang apabila dia memerlukan. Yang hanya datang tatkala dia mahu seorang pendengar. Yang hanya datang apabila dia mahukan perhatian. Dan yang paling buruk, yang hanya datang apabila dia mempunyai kepentingan.

Ada juga yang hanya datang dengan soalan. Soalan di mana dia memerlukan jawapan untuk menyedapkan hatinya. Antara yang selalu aku dengar adalah...

Kawan: Bagimana kau boleh bersabar dengan dugaan ini?

Aku:
Ini selalunya ditanya oleh orang yang baru putus cinta. Mungkin kerana mereka lihat aku tenang sahaja selepas meninggalkan cinta pertama dahulu. Jawapan yang sama aku berikan kepada mereka yang bertanya soalan itu. Mudah sahaja, kau terima segalanya sebagai takdir. Memang hakikatnya sangat perit. Tetapi apa kau mahu takut, Kau ada Dia untuk mengadu. Kau ada Kitab-Nya untuk mengubat lara. Apa lagi kau mahu? Katakan pada hatimu bahawa dia bukan milikmu. Mungkin ada seseorang di luar sana yang lebih sesuai untukmu. Dan, jika benar kau betul-betul mencintainya, kau akan biarkan dia pergi mencari kebahagiaannya. Bukankah kau pernah berkata, kebahagiaannya juga adalah kebahagiaanmu? Kau harus menerima hakikat bahawa mencintai tidak semestinya memiliki.

Kawan: Aku tahu dia milik orang, tetapi aku amat mencintainya. Kau dulu pun begitu kan?

Aku:
Ini memang nak kena pelangkung dengan aku. Tapi tak mengapa, aku jawab juga. Kau lihat situasi kau dengan situasi aku, benarkah kedua-duanya sama? Kenapa aku tanya kau begitu?
Kerana kau tahu dia sah-sah milik orang lain pada ketika kau mula menyulam rasa terhadapnya. Situasi aku dahulu lain, aku tahu bahawa ketika itu memang ada dua orang, bukan seorang di hatinya. Akulah yang menjadi tempat dia meluahkan rasa, kekecewaan, dan kesedihan. Akulah tempat dia meminta nasihat, bagaimana lagi mahu melembutkan hati cinta pertamanya. Aku juga pernah memberikan beberapa cadangan bagaimana mahu melembutkan hati seorang perempuan. Malangnya dia ditolak. Aku cadangkan dia memilih yang seorang lagi. Tetapi si dia pula menolaknya dan mahu aku mengambil dia dengan alasan si dia sedang bahagia menyulam rasa dengan kekasih hatinya. Apa kau orang ingat dia barang? Tapi kan, kenapa sekarang baru kau bertanya? Kenapa tidak dulu, ketika kau sehabis-habisnya memerangi aku kerana kamu semua tuduh aku sebagai perampas. Eh, emo pulak aku. Tak mengapa, lupakan saja. Dia pun sudah menjadi milikku kan?

Kawan: OK, aku tahu kau marah dengan soalan itu. Tapi kekasihnya yang seorang lagi pernah berkata kepadaku, Jika dia tidak dapat memiliki lelaki itu, biarlah perempuan seorang lagi pun tidak dapat memilikinya. Jadi dia mahu aku menerimanya. Apa kata kau?

Aku:
Marah? Mana ada, aku cuma emo je. Aku mahu tanya kau lagi, adakah kau sedang mengajuk aku sekarang?

Kawan: Mana ada, aku cuma mahukan pandangan.

Aku:
Atau kau mahu menyedapkan hati? Baiklah, aku akan jawab. Tapi agak keras kot jawapanku. Kau jangan menyesal sudah. Bila ada seorang perempuan berkata begitu kepada kau, kalau kau percaya, memang kau bodoh! Bodoh macam aku dulu. Aku percaya setiap kata-katanya. Akhirnya setelah aku menerima cadangannya, dia mula menampak belangnya. Menuduh aku merampas 'kekasihnya' walaupun aku sudah tahu dia memang sayangkan 'kekasihnya' itu. Menfitnah aku ke sana ke mari. Sehinggakan aku seperti bermusuh dengan semua orang. Aku juga terkena tempias dari seseorang yang tak pernah kenali akibat mulut berbisa seorang perempuan. Seorang yang bagi aku sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendaknya. Sehingga sanggup menjilat ludah sendiri dengan berbaik semula dengan orang yang paling dibencinya suatu ketika dulu. Itu cukup untuk mengajarku. Bukan semua orang kita boleh percayai dalam dunia ini. Tapi kalau kau memilih untuk mempercayai perempuan yang kau katakan tadi, silakan, aku tiada halangan. Mungkin selepas ini kau boleh kongsikan akibatnya dengan aku. Akan aku tuliskan di bolgku. Mahu?

Kawan: Aku ada lagi soalan untuk kau. Bolehkah kau dengar?

Aku: Aku sedia mendengar. tapi aku bagi tau kau awal-awal bahawa apa yang kau tanyakan aku ni beserta jawapan aku aku postkan di blogku. Kerana kau adalah contoh terdekat untuk menerangkan ayat "Jika tidak kena pada diri sendiri, kau tidak akan belajar."

Kawan: Kau nak perli aku ke?

Aku: Taklah, aku cuma mahu jadikan peristiwa ini sebagai tauladan kepada perempuan-perempuan lain di luar sana. Tapi aku akan postkan secara berperingkat la. Nanti kalau aku jawab semua soalan kau, orang tak larat baca pulak.

Kawan: Oh, aku tak kisah. Asalkan ada orang mendapat kebaikan dari kisah aku. Aku juga dah belajar sesuatu. Jika dahulu aku antara orang yang paling kuat menentang kau, kali ini baru aku faham perasaan kau. Bagaimana rasanya 'berada di dalam kasut kau'. perlukah aku mintak maaf sekarang? Kau masih anggap aku kawan kau?

Aku: Takpa, aku faham. Dulu kau belum betul-betul rasa apa yang aku rasa. Kalau aku tak anggap kau kawan aku, kau rasa aku mahu lagi bercakap dengan kau?

Kawan: Kau tak takut akan dapat komen yang 'pedas' nanti?

Aku: Aku dah biasa. Lagipun aku bertanggungjawab terhadap apa yang aku tulis. Tapi aku tidak bertanggung jawab terhadap salah intepretasi orang lain terhadap penulisan aku. Itu hak masing-masing. Lagipun, kalau aku takut dilanda ombak, takkan aku mahu berumah di tepi pantai.

Kawan: Ya la, patut la kau memang duduk di tepi pantai. Boleh dengar bunyi ombak monsun dari rumah kau. kau memang suka berumah di tepi pantai ke?

Aku: Aku rasa soalan kau tu tak relevan la. Tak signifikan langsung.

Kawan: ???


*********** Bersambung di bahagian 2..



********************
Betul juga kata kawanku itu...
Selepas ini boleh buat 1 slot yang dinamakan 'Monolog bersama Kawan' kat blog ni...
Ada soalan lagi...?
Hehe...

No comments: